Yakin pada Dia

Safwa selamat disemadikan. Di rumah baru tujuh kaki dalamnya. Keseorangan tanpa siapa-siapa, teman mahupun keluarga. Namun, doa akan selalu aku titipkan buat temani dia. Buat bidadari yang tercinta.

///////////////////////////////////////////

11 jam perjalanan bukanlah suatu jangka masa yang singkat. Segala kemungkinan boleh berlaku, malah 'kemungkinan' itu juga tidak mustahil berlaku. 

2.30 pagi. Tuhan seakan memberi peluang terakhir buatku. Walaupun keadaan Safwa sangat kritikal, menghitung detik pertemuan denganNya, aku masih sempat berdiri saat ini di sini walaupun setelah melalui perjalanan yang panjang. Di sisi pesakit yang terlantar koma.

Ummi membelai lembut belakang badanku. Kata-kata semangat tidak putus diberikan. Orang tua Safwa juga ada di situ. Berusaha bermanis muka di sebalik kesedihan yang melanda. 

Ayah Safwa menggerakkan bibirnya tanpa suara seperti mengatakan sesuatu saat aku menatapnya. 

"Cakaplah sesuatu" 

Aku mengangguk perlahan. Sememangnya sedari tadi aku hanya berdiri sambil menatap kaku. Aku keliru. Sedih atau gembira yang perlu aku rasakan. Sedih kerana dia akan pergi atau gembira kerana sempat bertemu. Aku tidak berani mendekat apatah lagi berkata sesuatu. Bukan tidak berani, lebih tepatnya, segan. Pertama kali bersua setelah 4 tahun, keadaan Safwa pula terlihat sangat menyayat hati.

Aku memberanikan diri untuk merapat. Semakin mendekat, semakin sayu hati aku rasakan. Sepatutnya tahun ini tahun ujian terakhir untuk aku mempersiapkan diri untuknya. Namun, Tuhan lebih mengetahui rahsia takdirNya. Allahuakbar!

"Safwa...", panggilku lembut. Sepenuh hati, namun tiada jawapan.

"Safwa...", masih tiada jawapan.

"Safwa...", sememangnya tiada jawapan.

Tangisku pecah. Tak tertahankan lagi. Tidak sangka, kehadiranku disambut sebegini. Tidak menepati bayanganku. Sepatutnya pertemuan pertama ini adalah 'pertemuan menjemput bidadari', bukan 'pertemuan menghantar bidadari'.

Aku capai kain tudung pink di sudut katil. Kemudian rambutnya aku tutup supaya tidak kelihatan. 

"Awak masih belum halal untuk saya. Saya nak awak sentiasa dalam keadaan terhormat."

Tiba-tiba Safwa menggeletar beberapa kali seperti terkena kejutan elektrik. Aku panik. Mesin bacaan denyutan jantungnya berbunyi kuat. Aku menggelabah. Apa yang perlu aku buat?

Ayah Safwa menarik lenganku perlahan menjauh dari situ. Tangannya mengusap bahuku lembut, cuba menenangkan. 

"Pak cik, Safwa.."

"Iye, takpe. Sabar nak.."

Aku kebingungan sejenak. Anaknya sedang kesakitan malah aku ditarik keluar dari bilik?

"Dah dua tiga kali ia berulang sebelum ni. Kesan daripada kemalangan."

Aku terduduk lemah. Kasihan sekali Safwa. Pasti sakit apa yang dia alami itu. Tiada apa yang dapat aku lakukan. Ayah Safwa duduk di sebelahku. Menarik nafas beberapa kali sebelum berkata sesuatu.

"Safwa dah tak lama. Bila-bila masa saja dia boleh pergi..", suaranya kedengaran sayu. Sungguh, ini adalah waktu yang sangat sukar untuk dihadapi mereka.

"Nikahi Safwa, Muslim.."

Aku tersentak. Jantungku mula dipalu. Nikah? Apakah aku tidak salah dengar?

"Izinkan pak cik tunaikan hajat terakhir anak pak cik..."

////////////////////////////////////////////
Sungguh indah cinta itu,
Apabila dipandu seiring dengan ajaran Kitab-Mu,
Membatasi setiap tingkah dan laku,
Mengawal diri dari bisikan nafsu,
Yang mendorong diri agar terburu-buru,
Mengejar kebahagiaan yang sering menipu,
Persis sejarah kaum terdahulu.
Akhirnya ku temui erti cinta,
Di sebalik keyakinan yang tidak sirna,
Tujuan cinta yang sebenarnya,
Merelakan diri sepenuhnya kepada Yang Esa,
Meyakini takdir yang ditetapkan oleh-Nya,
Meletakkan Allah di tempat yang selayaknya,
Segalanya kerana Dia,
Berpaksikan cinta Dia.

Aku termenung jauh. Menghayati pemandangan tepi pantai. Pemandangan yang sukar untuk didapati di Jordan.  Diari itu aku tutup selepas menghayatinya tadi. Bait demi bait, ayat demi ayat luahan hati sang bidadari, 'zaujah lima belas minit' ku.

Haha. Aku tergelak kecil, mengenangkan kisah hidup aku yang tersangat 'istimewa' ini. Kalau orang lain mungkin sedang menyembabkan mata meratapi kesedihan. Sebaliknya, aku mampu untuk tersenyum sendiri saat ini. Jarang sekali ada orang yang mempunyai kisah hidup seperti kisahku. Berhusnu zhon dengan takdir adalah yang terbaik. Mana mungkin Allah yang Maha Penyayang menzalimi hamba Dia. Ini semua adalah percaturan tarbiyah khas buat ku. Buat hamba Dia yang culas dalam mengendalikan 'cinta'. Aku yakin.

Cintakan bunga, bunga akan layu. Cintakan manusia, manusia akan mati. Cintakan Allah, cinta kekal abadi. Ah, itu ungkapan biasa yang semua orang dah sedia maklum. Siap dilagukan lagi. Namun, kali ini ia benar-benar menguji.



"...Bila kamu mendekati Aku satu jengkal, Aku mendekatimu satu hasta. Bila kamu mendekati Aku satu hasta, Aku mendekatimu satu depa. Bila kamu datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, Aku datang kepadamu berlari-lari." 

[Hadith Riwayat Bukhari].




Demikianlah bukti yang sesungguhnya. Betapa cinta Allah yang perlu didahului dan akan mendahului sebelum cinta yang lainnya. Itulah yang ingin dikongsikan oleh Safwa. Menjadi manusia ber'hati besi'. Tiada kekecewaan disebabkan dunia, tiada kedukaan disebabkan manusia. Sekalipun bertahun kepayahan, namun lima belas minit itu cukup untuk mengatasinya apabila syiar Allah dilaksana. Seakan kepayahan bertahun itu tiada apa. Demikianlah juga halnya dunia dan akhirat. Berpayahan dulu, bersenang-senang kemudian. Apatah lagi daerah akhirat itu daerah yang kekal abadi. Aku yakin itu!

"Wahai Safwa Humaira' zaujah bidadariku, moga Allah pertemukan lagi kita nanti ye..", bisik hatiku tatkala langit biru menjadi tatapan.

Hensetku berbunyi. Satu mesej masuk. Aku tersengih. Mesej dari Zaki.

"Assalamualaikum akhi, maaf lambat sehari. Takziah atas pemergian Safwa. Dan tahniah kerana dikurniakan kisah cinta yang begitu menggugah. Semoga terus dikuatkan hati ye akhi. Yakinlah pada Dia!"

Senyumku melebar. Sungguh, apabila segalanya berkisar dengan Tuhan maka segalanya akan menjadi indah belaka. Aku yakin itu!


Oleh : aqmusleem





Ulasan

  1. oh amin, luluh hati aku baca ni weh T.T

    BalasPadam
  2. Terima kasih amin. Kisah ni juga dapat jadi tarbiyah utk aku yang sering culas tentang cinta.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam

Catat Ulasan