Ada sebuah kisah yang tidaklah hebat, tapi cukup menyentuh. Kisah yang cukup sederhana namun ia mampu memberikan makna. Berkisar tentang seorang abang yang sangat menyayangi tiga orang adik sepeninggalan ummi dan abi tercinta. Dialah abang, dialah ummi dan dia jugalah abi.
Bayangkan tiga orang adik yang comel-comel belaka terpaksa hidup tanpa lembutnya kasih ibu dan hebatnya kasih ayah. Abang mana yang sanggup melihat walau setitis air mata gugur menerusi pipi-pipi montel itu. Sungguh, biar darah merahnya yang kelihatan daripada melihat mata adiknya yang memerah.
"Abang, sini kejap. macam mana nak kira satu tolak satu?"
Si abang tersenyum. Kerja tesisnya diberhentikan sekejap.
"Macam gini, satu tolak satu jadinya?", terang si abang sambil melukis sebatang lidi kemudian disempang lidi tersebut.
Si adik terlopong. "Satu habis".
"Jadi, kosong jawapannya.." si abang tersenyum sambil menatap si adik tembam.
"Tapi kan...adik kira satu tolak satu sama dengan satu", si adik pula cuba menerangkan. Kedua-dua tangannya digenggam lalu diangkat jari telunjuk kanan dan kirinya ke atas. Kemudian jari telunjuk kanannya menekan masuk semula telunjuk kiri dalam genggaman.
Si abang tergelak kecil. Sungguh, kreatif juga otak adiknya itu.
Begitulah hari-hari si abang berlalu. Melayan kerenah tiga orang adik yang berbeza-beza walaupun terkadang ianya hal-hal kecil dan remeh. Ah sini, uh sana, aduh sini, adeh sana. Boleh dikatakan susah dan payah jika dilihat dari mata kepala. Tapi bukan mata hati, malah hari-hari itu berlalu dengan senang hati gamaknya.
Baginya, tiada yang lebih menyenangkan daripada suara gelak tawa si adik-adik. Tekanan pelajaran dan kerja sampingan yang dilakukan seakan tiada apa adanya. Adik-adik dijaga bagai menatang minyak yang penuh hendaknya.
Saat demi saat, detik demi detik dan tahun demi tahun. Kini si abang mampu bernafas lega melihatkan tiga orang heronya mampu menapak sendiri hidup untuk-Nya. Dengan tarbiyah yang diberikan dari kecil, mereka kini mampu bergelar pejuang.
Tatkala suatu malam yang hening, setelah si abang mentadabbur Surat Cinta Tuhan sambil melunjurkan kaki di balkoni, tiga wajah tembam berserta gelak tawa yang kini sudah membesar panjang muncul di benaknya. Kemudian dia tergelak sendiri. Entah kenapa rindu menyapa.
Hensetnya dicapai lalu ditaip mesej untuk si adik-adik. Memandangkan esok cuti umum, si abang ingin mengajak adik-adiknya berjumpa, melepaskan rindu. Maklumlah, sudah lama tidak bersua. Senyumnya melebar membayangkan pertemuan esok.
Mesej pertama berbalas.
"Waalaikumussalam. Maaf akhi, esok Afiq ada usrah. Dah dua minggu Afiq tak datang usrah. Rugi kalau Afiq tak pergi lagi. Maaf, lain kali ye akhi.."
Sentapan pertama. Jawapan yang tak seperti dibayangkan. Namun, jawapan itu yang sama diberikan bagi ajakan sebelum-sebelum ini. Usrah.
Si abang cuba berlapang dada. Berhusnu zhon, baguslah adiknya hadir usrah.
Mesej kedua masuk.
"Tariq nak kena siapkan kertas kerja program tarbiyah cepat, bang. sori sangat2.."
Sentapan kedua. Separuh hatinya mula disapa kecewa. Apakah tiada masa walau sedikit untuk aku? Atau memangkah aku selalu menjadi pilihan kedua selepas yang lainnya? Keluh hati si abang.
Tidak lama, mesej ketiga muncul.
"Akh, aasif jiddan2. Safri baru habis join jelajah dakwah.. Safri rancang nak rehat esok, letih. lagipun cuti ada dua tiga hari lagi..esok lusa baru Safri datang ye.."
Sentapan ketiga. Sempurna penolakan adik-adik tersayang. Kasih yang diberi seakan tidak berbalas. Namun, begitulah dunia. Lumrah. Si abang berusaha memujuk hati.
////////////////////////////////////////////
Mengapa Allah ciptakan malam? Sebab Allah nak masa private dengan hamba-hamba Dia. Justeru, hanya siapa-siapa yang menggarapnya saja yang merasai nikmat 'berdua-duaan' dengannya.
Usai berqiamullail, si abang membuka peti simpanan mesej hensetnya. Mesej si adik-adik diulang baca. Tapi kini dengan mata hati, bukan takat mata kepala. Tiada lagi kecewa yang tersisa.
Dia termotivasi sendiri. Setelah mendiagnosis hubungan dia dengan Ilahi. Ini adalah aturan tarbiyah untuk dirinya, atau satu 'teguran manja' dari Tuhan. Allah tidak menegur hamba Dia direct tetapi teguran itu datang melalui realiti kehidupan abdi.
Patutkah aku berasa kecewa saat ajakan aku ditolak oleh Afiq yang mengutamakan usrah daripada aku? Wajarkah aku berasa sakit hati saat Tariq menolak ajakan aku kerana mengutamakan kerjanya yang perlu disiapkan cepat? Dan sungguh zalim jika aku menyalahkan Safri yang mengutamakan waktu rehatnya melebihi kerinduan aku.
Justeru kerana aku sendiri sering menangguh-nangguhkan seruan yang lebih penting saat aku mengutamakan perkara yang aku anggap benar. Seringkali juga aku mengutamakan kerja yang aku anggap penting berbanding seruan sang bilal bila tiba waktunya. Sungguh, zalim juga tatkala panggilan itu aku tangguh disebabkan penat lelah sementara.
Seruan mulia memanggil hamba, mengajak bersujud bertemu Yang Esa. Mentakzimkan Dia pada awalnya, kesaksian hamba menyusuli pula. Masanya tiba untuk merealisasikan rahsia bagi yang ingin berjaya. Sungguh tiada yang lebih besar, kerana Dia satu-satunya Tuhan tiada tandingnya.
Sepatutnya Tuhan yang berkuasa memanggil berjumpa atau hamba yang hina meminta berjumpa? Justeru mengapa sang hamba sanggup mengabaikan atau menangguhkan seruan azan, panggilan agung dari Tuhan? Tidakkah Allah itu tidak pernah meminta balasan kasihNya yang diberi malah menawarkan lagi rahmatNya seluas-luasnya?
Inilah panggilan rindu dari Tuhan. Buat sang hamba yang selalu lalai dengan dunia, berusaha tanpa mengharap padaNya. Hamba yang selalu salah menilai keutamaan dunia melebihi tujuan hidup yang sepatutnya. Hamba yang sering melupakan Dia dalam kehidupan yang nyata dicipta oleh Dia.
Aku kecewa saat ajakan, panggilanku diabaikan. Namun, nikmat Tuhan tidak pernah berkurang saat panggilan rinduNya diabaikan. Bukankah hidup ini untukNya? Maka sepatutnya tiada yang lebih utama berbanding panggilan Sang Pencipta.
"Wahai adik-adik, tak mengapa panggilan rindu abang kamu ketepikan. tapi jangan kamu utamakan selain daripada panggilan rindu Allah ye"
Oleh : aqmusleem
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,
Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah,
Dan aku bersaksi Nabi Muhammad utusan Allah,
Marilah menunaikan solat,
Marilah menuju kejayaan,
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,
Tiada Tuhan selain Allah
Seruan mulia memanggil hamba, mengajak bersujud bertemu Yang Esa. Mentakzimkan Dia pada awalnya, kesaksian hamba menyusuli pula. Masanya tiba untuk merealisasikan rahsia bagi yang ingin berjaya. Sungguh tiada yang lebih besar, kerana Dia satu-satunya Tuhan tiada tandingnya.
Sepatutnya Tuhan yang berkuasa memanggil berjumpa atau hamba yang hina meminta berjumpa? Justeru mengapa sang hamba sanggup mengabaikan atau menangguhkan seruan azan, panggilan agung dari Tuhan? Tidakkah Allah itu tidak pernah meminta balasan kasihNya yang diberi malah menawarkan lagi rahmatNya seluas-luasnya?
Inilah panggilan rindu dari Tuhan. Buat sang hamba yang selalu lalai dengan dunia, berusaha tanpa mengharap padaNya. Hamba yang selalu salah menilai keutamaan dunia melebihi tujuan hidup yang sepatutnya. Hamba yang sering melupakan Dia dalam kehidupan yang nyata dicipta oleh Dia.
Aku kecewa saat ajakan, panggilanku diabaikan. Namun, nikmat Tuhan tidak pernah berkurang saat panggilan rinduNya diabaikan. Bukankah hidup ini untukNya? Maka sepatutnya tiada yang lebih utama berbanding panggilan Sang Pencipta.
"Wahai adik-adik, tak mengapa panggilan rindu abang kamu ketepikan. tapi jangan kamu utamakan selain daripada panggilan rindu Allah ye"
Oleh : aqmusleem
Ulasan
Catat Ulasan