Segalanya BERMAKNA!

Siapa sangka 24 hari yang awalnya terlihat seakan 24 tahun kini terasa 24 jam! Aduh, seakan sehari cuma rupanya. Sungguh, manusia itu hanya mampu menyangka bahkan Tuhan yang mengetahui tujuan takdirNya.

"Bosan giler boh.. baru sehari, lagi sebulan dekat sini." ( bayangkan intonasi bicaranya tak bermaya serta riak muka kemustahilan memiliki kereta FERRARI )

Lumrah manusia, selalu meng'hukum' masa depan walhal baru masa kini yang dilihatnya. Tak percaya? Nah, buktinya.

"Sedih boh.. tak rasa, dah sebulan dekat sini." ( bayangkan pula intonasi bicaranya juga tak bermaya serta riak muka baru saja tamat tempoh pandu uji kereta FERRARI )

Jelas bukan? Kerana itulah Allah, Tuhan yang telah lama merangka blueprint penciptaan dan flow kehidupan hamba Dia telah berpesan dengan penuh kasih sayang pada 1400 tahun dahulu,

"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya"
Surah Al-Baqarah 2:216 

Nyata tabiat dan sikap ke'anak-anakan' manusia sudah tersedia lengkap dalam pengetahuan Allah. Memang tidak disangkal sememangnya Allah itu Tuhan bukan? Dia pesan siap-siap awal-awal dulu khususan kepada kita sang hamba alpa. Hamba yang selalu mengeluh, bersuuz zhon dengan kehidupan, mengharapkan apa yang lebih terlihat pada orang lain, tidak menghayati atau merasakan nikmat apa yang sedia ada, sehinggakan kurang percaya apa yang diberikan sesungguhnya adalah yang terbaik belaka! Sungguh, tak tipu!

Bayangkan sepotong kisah seekor burung yang dikongkong hidupnya di sebalik jeriji penjara sangkar. Dia sering menyumpah takdir dirinya yang sepatutnya lumrah bagi kehidupan seekor burung adalah bebas terbang menelusuri angkasa seperti sahabat-sahabat spesis dengannya. Dia sering menginginkan kebebasan yang nyata seakan dikhianati oleh tuannya sendiri. Sehingga pada suatu tahap, dia membayangkan dirinya akan menjadi seekor burung 'sayap bangku' yang tidak sehebat sahabat-sahabat yang lain gah menari-nari membelah angin dengan gaya yang cukup mantop kerana ruang sangkar tidak cukup luas untuk membenarkan dia berlatih gerakan aekrobatik sedemikan rupa.

Akhirnya sela beberapa waktu, berita hiba kematian sahabat-sahabat si burung tersebar luas seluas angkasa raya. Pertandingan menembak dan memburu burung berlangsung. Si burung terkesima mendengarkannya. Raja menembak ketawa terbahak-bahak tatkala sahabat-sahabat si burung tewas menjadi mangsa peluru maut. Bukan setakat itu, malah yang membuatkan si burung ternganga adalah usai beberapa hari berlalu, si tuan akhirnya dengan senyuman yang seribu kali indah daripada biasa membuka pintu penjaranya.

"Wahai burung comel, saat kebebasan kau sudah tiba. Terbanglah sepuas-puas hati kau"

Si burung terharu. Tuan yang disumpah-sumpahnya dulu ternyata adalah malaikat penyelamat baginya. Hanya air mata yang dapat diberikan sebagai penghargaaan kepada si tuan ( aku tak pernah nampak burung menangis macam mana, bayangkan sendirilah ye ).

Itulah antara kisah kasih seorang tuan kepada burung peliharaannya. Sedih bukan? Kasih si tuan sangat indah terasa, namun apatah indahnya lagi kasih sayang Tuhan terhadap sang hamba!

Maka perlunya bahkan wajib seorang hamba me'muhasabah' setiap apa yang berlaku dalam lingkungan kehidupannya. Setiap hari, setiap jam, setiap saat bahkan setiap detik perjalanan kehidupan abdi. Kerana sesungguhnya Nabi ingin mengajar kita cara untuk melihat dengan mata hati akan  kasih sayang Tuhan yang tersurat dan tersirat dalam takdirNya.

Justeru bertujuan membentuk sang hamba yang selalu bersemangat, berhusnu zhon dengan kehidupan, mengharapkan apa yang lebih untuk orang lain, mensyukuri sepenuh hati nikmat apa yang sedia ada, sehinggakan yakin dengan kepercayaan yang tidak akan sirna bahawa apa yang dikurniakan sesungguhnya adalah yang terbaik belaka.

Berbalik kepada kisah awal tadi, kini kami sedang menghabiskan sisa-sisa waktu terakhir di bumi ini. Berusaha sedaya mungkin untuk memaksimumkan bakti persinggahan sang musafir. Bekerja dengan semangat jitu tatkala hikmah Tuhan mengutuskan kami ke sini telah menyingkap tabir makna setiap detik kehidupan. Ilmu baru, rakan baru, kenalan baru, murobbi baru bahkan suasana kehidupan baru yang di luar kebiasaan yang dulu. Namun, segalanya akan kami tinggalkan. Tapi dengan membawa pulang tarbiyah secara tidak langsung dari Tuhan. Sungguh, tiada satu pun yang sia-sia kerana pasti segalanya BERMAKNA!


Jam 15:37,
Bumi Serdang.

Ulasan

  1. ohh first time baca cerita burung tu, ya benar, semoga allah berikan kita nikmat itu. Nikmat dapat sentiasa berhusnuzon terutama dengan Tuhan

    BalasPadam

Catat Ulasan