Hero (ep 1)

"Hah, lemah sungguh kau. Pengecut!"

Seakan sebuah tamparan pantas menyapa. Tidak menyakitkan, cuma cukup menyentap.

"Apakah cukup dengan hidup kau sebegini?"

Aku terjelepok, tidak tertahankan getaran lutut yang terasa. Dadaku mulai menyesak.

"Wahai Tuhan, mengapa kau utus manusia ini? Sungguh, tiada manfaat yang bakal dia beri!"

Suara halilintar itu lantang dan cukup menekan. Bumi seakan bergegar, kesan daripada pekikan suara itu. Suasana gelap kemerah-merahan melengkapkan lagi situasi yang sungguh menakutkan. Aku sendirian di kawasan luas tidak bertepian ditemani badai yang sekali-sekala menghembus buas. Tiada tempat untuk ku berpaut kecuali tanah tandus yang terbentang luas sejauh saujana mata memandang.

"Siapa kau? Apa yang kau mahu!!!"

Akhirnya pertanyaan itu terlafaz tidak tertahankan. Ketakutan yang menyesak membuatkan lidahku bertindak di luar kawalan.

Badai yang buas terhenti serta merta. Dentuman guruh senyap mengundang sunyi. Melahirkan kontra dengan kegawatan tadi.

"Aku adalah kau. Kau adalah aku."

Tiba-tiba suara halus kedengaran membisik. Aku tersentak. Segera aku berpaling ke belakang.

"Tidakkah kau sedari lagi?"

Mataku membulat. Susuk tubuh dan wajahnya persis diriku. Aku cuba meyakinkan diri bahawa ini hanyalah sekadar mimpi. Bukan realiti. Tapi nyata gagal. Lelaki itu tidak lepas dari merenungku tajam.

"Aku tak faham.. apa semua ni???"

"Haha..", lelaki itu tergelak kecil disertai sengihan sinis.

"Bukankah kau selalu memarahi diri kau, mengutuk kelemahan diri kau?? Selalu mempersoalkan ketetapan hidup kau? Bertanya apa tujuan kau dihidupkan? Merasakan tiada guna kau diutuskan?"

Aku kehilangan kata-kata. Cuba menelan setiap patah bicaranya. Nyata itulah hakikat yang sebenarnya berlaku.

"Kerana itu bukan aku. Aku adalah diri kau yang satu lagi"

Aku tergamam. Otakku mula serabut menganalisis penyataan-penyataan yang dilemparkan. Berusaha sedaya mungkin mencari logik apa yang diperkatakan. Mana mungkin aku.. dua orang???

Tiba-tiba muncul satu cahaya yang terang. Sinarnya sangat silau serta menyakitkan mata menghadkan penglihatan. Akan tetapi lelaki itu terlihat tenang seakan tiada apa-apa yang berlaku. Hanya sengihannya saja kelihatan tatkala sinar cahaya itu semakin meningkat sehingga melenyapkan pandangan.

////////////////////////////////////////

Kecoh. Segalanya tak terkawal. Jeritan kedengaran di sini sana. Tidak kurang juga dengan tangisan anak-anak kecil yang ketakutan. Orang ramai berkejaran keluar dari kenderaan lalu menuju ke hujung jambatan. Ada yang sekadar berpaut pada tiang jambatan tanpa mampu bergerak disebabkan panik.

Semuanya bermula saat salah satu kabel jambatan Wishm yang menghubungkan antara dua pulau putus tanpa diduga. Jambatan yang hilang kestabilan ditambah lagi dengan berat kenderaan-kenderaan menyebabkan tiga kabel lagi yang lain turut putus. Keadaan serta merta menjadi darurat. Ramai yang terjatuh ke dalam lautan luas. Berdasarkan logik dengan ketinggian sebegitu, mustahil untuk mereka terselamat.

Aku sekadar terduduk atas jalan raya sambil berpaut pada pintu kereta. Ketakutan. Sememangnya seakan aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Tekanan otakku meningkat tatkala melihat seorang lelaki yang barunya tadi jatuh ke laut. Panik.

"Tolong.. sesiapa tolong saya.." suara seorang perempuan kedengaran sayup tidak jauh dari situ.

Kelihatan seorang perempuan sedang bergayut sebelah tangan di tebing jambatan. Hanya sebatang besi jambatan itu yang menjadi harapan untuk dia terus bertahan daripada jatuh.

Nafasku menjadi sesak. Jantungku pantas berdetak. Tubuhku menggigil. Seorang perempuan dalam keadaan genting perlukan bantuan, namun aku tiada kekuatan untuk menolongnya. Ini urusan hidup atau mati!

Perempuan itu sedar akan keberadaan aku di situ.

"Tolong saya"

Wajahnya pucat dan cemas, mengharapkan aku berbuat sesuatu. Peluh mula menyimbahi wajahku. Aku menggeleng perlahan.

"Maaf,.. sa.. saya fobia ketinggian", bicaraku tersekat-sekat. Sungguh, aku tiada keberanian untuk melakukannya. Celaka sekali aku.

Perempuan itu tersenyum tanpa diduga. Tulus. Aku terpukul. Walau keadaan yang sedang gawat, perempuan itu masih tersenyum dengan bibir yang pucat! Apakah???

"Skreeeettttt.."

Sebuah kereta terseret tidak jauh dari situ mengikut tarikan graviti disebabkan jambatan yang semakin senget. Otakku pantas menjangka arah seretan kereta tersebut.

"Allahuakbar". Mataku membeliak. Jantungku seakan terhenti. Nyata kereta itu bergerak ke arah perempuan tadi.

"Tidak!!!!"

////////////////////////////////////////

Keadaan berubah menjadi sediakala. Tiada jambatan, tiada kekecohan, tiada juga perempuan tadi. Hanya tanah tandus persis sahara.

"Kau masih ingat peristiwa tadi?", 'aku' yang lagi satu muncul semula.

"Jika kau bukan seorang yang pengecut, paling tidak perempuan itu mampu diselamatkan bukan?"

Aku terduduk lemah. Kembali mengutuk kekurangan diri. Kembali mempersoalkan kemampuan diri.

"Syukur pada Tuhan Langit.. dengan asbab kejadian itu, aku dibangkitkan"

Apa? Asbab 'aku' dibangkitkan? Apa yang 'aku' cuba sampaikan sebenarnya?

"Aku adalah diri kau lagi satu yang sekian lama tersembunyi. Aku sememangnya berbeza dengan kau, kerana aku adalah pengimbang kekurangan diri kau yang kau rasakan selama ni"

Dahiku berkerut seribu. Cuba memahami pengakuan yang 'aku' berikan.

'Aku' menapak mendekat. Kini auranya terasa lebih damai berbanding auranya yang menakutkan tadi. Kemudian 'aku' memegang bahuku lembut.

"Kembalilah. Jangan pernah kau perkecilkan diri kau lagi. Sesungguhnya, Tuhan Langit menciptakan manusia sesempurna ciptaan. Aku akan muncul lagi bukan saat aku diperlukan, tapi saat kau diperlukan."

To be continued..

Ulasan