Hero (ep 2)

Saat itu dirasakan nyawanya betul-betul seakan telur di hujung tanduk. Genggaman tangannya semakin lemah tatkala otot-otot yang mulai mengejang.

"Abi.. ummi.. tolong Afiq.. haaaa.."

Seorang budak kecil meraung keseorangan. Tiada yang datang menolong. Saat itu dunia terlihat kejam sekali. Jambatan yang selalu sibuk dengan orang ramai lalu lalang nyata kosong tika seorang anak kecil berusaha sehabis daya memperjuangkan nyawanya daripada jatuh ke sungai yang deras dengan berpaut pada batang besi penghadang jambatan. Sungai yang sememangnya sudah ramai menjadi mangsa kebuasannya.

Air mata budak itu deras mengalir keluar menyebabkan penglihatannya mula kabur. Sungguh, jikalau tidak ditarbiyah seeloknya sudah lama budak itu mengutuk Tuhan. Namun, pesan abinya membisik lembut.

"Afiq anak abi.. Allah itu sangat hebat. Hanya Dia sebaik-baik penolong bagi kita"

Lantas Afiq menukar raungannya.

"Allah.. tolong Afiq ya Allah.. abi dengan ummi takde.. haaaa.. "

Afiq mula kehabisan tenaga untuk terus berpaut. Di bawahnya terlihat air yang deras mengalir, di atasnya pula terlihat langit biru yang kosong tanpa awan. Langsung tiada kelibat siapa-siapa.

Afiq memejamkan mata. Buat pertama kalinya dia belajar erti pasrah.

"Ya Allah!"

Afiq terkejut. Tangannya ditangkap oleh seseorang sewaktu genggamannya hampir terlepas.

Kak Nafisah muncul sebagai utusan Tuhan Langit. Asbab pertolongan dari Dia. Kemudian dia tersenyum.

////////////////////////////////////////

"Allahuakbar!"

Jantungnya seakan terhenti sejenak. Dadanya terasa nyilu. Kemudian muncul suatu dorongan yang tak tertahankan.

Afiq melompat laju menghadang kereta tersebut daripada menggelongsor ke arah perempuan itu. Hanya satu inci saja jarak yang dapat dipertahankan.

Tangan kanannya dihulurkan ke bawah. "Cepat pegang tangan saya. Saya tak dapat nak bertahan lama."

Usai menarik perempuan tadi naik ke atas jambatan, dia melompat ke tepi membenarkan kereta itu menggelongsor laju jatuh ke dalam laut. Nafasnya laju, peluh di dahi diseka.

Perempuan tadi terpinga-pinga. Matanya membesar. Keadaan ajaib yang baru berlaku tadi seakan muncul seorang adiwira menyelamatkan dirinya, memberikan kejutan.

"Maaf.. sa.. saya fobia ketinggian..", bicara Afiq pada awalnya sebelum dia berubah secara tiba-tiba kembali menjengah. Itu yang membuatkan seribu persoalan menyerbu benak perempuan itu kini.

"Nama awak siapa?", tanya Afiq pendek. Cuba meredakan kejutan perempuan itu yang jelas kelihatan.

"Nafisah"

Afiq tersenyum. Kini dia benar-benar tidak seperti awalnya. Pandangan matanya tajam, nada suaranya lebih kedengaran yakin. Malah dia mampu berdiri dengan tegap di atas jambatan yang senget dan tidak stabil dengan hanya berpegang pada sebuah pintu kereta yang terbuka.

"Ok Nafisah, sekarang awak pegang kuat-kuat penghadang jambatan ni sampai pasukan penyelamat datang. Saya yakin sekejap lagi mereka pasti sampai."

Kemudian Afiq pantas berlari di celah-celah kereta untuk mencari jika ada yang masih memerlukan pertolongan seperti Nafisah. Hadir perasaan kagum terhadap keberanian Afiq tadi dalam hatinya. Keberanian yang 'muncul' secara tiba-tiba.

Lima orang yang senasib dengan perempuan tadi berjaya dibantu oleh Afiq. Semuanya benar-benar berlaku dalam masa yang agak singkat. Selepas seorang diselamatkan, Afiq pantas bergerak mencari lagi yang lain. Keadaan jambatan yang tidak stabil serta kedudukan jambatan yang sangat tinggi daripada paras air laut bukan lagi penghalang bagi dirinya. Panik dan fobia hilang mendadak.

Akhirnya, pasukan penyelamat tiba. Mangsa-mangsa dikejarkan ke hospital untuk diberikan rawatan fizikal mahupun mental. Kejadian yang berlaku benar-benar di luar jangkaan dan sangat menekan. Tidak mustahil ada mangsa yang hilang kesedaran dan kewarasan dek ketakutan yang teramat.

Afiq merebahkan punggungnya di tepi jalan. Cuba mengatur nafasnya semula sambil melihat suasana ketegangan yang mula reda setelah pasukan penyelamat tiba untuk membantu mangsa-mangsa. Tiba-tiba datang seorang perempuan beruniform bersama seorang lelaki yang memegang kamera dengan lagak seorang cameraman ke arahnya.

"Maaf, encik yang tadi membantu mangsa-mangsa sebelum pasukan penyelamat tiba kan?", soal perempuan beruniform itu.

Tidak semena-mena beberapa orang pemberita lain turut berkejaran ke arah Afiq dari kejauhan.

"Dup"

Jantungnya seakan terhenti seketika. Dadanya terasa nyilu. Kemudian suatu aura 'ketakutan' kembali muncul seperti sedia kala.

"Maaf.. haa.. orang lain rasanya tu"

Riak wajah Afiq berubah mendadak. Aura 'keberanian' dan 'keyakinan' yang terembes tadi hilang. Lantas Afiq bingkas bangun lalu meminta maaf untuk beredar. Langkahnya tergesa-gesa mengabaikan panggilan pemberita tadi. Perilaku Afiq nyata mengundang tanggapan pelik orang sekeliling.

////////////////////////////////////////

Air paip ditutup. Tuala putih di penyidai dicapai lalu mukanya yang basah dilap perlahan. Kemudian, dia melihat ke arah cermin tandas yang tepat di hadapan wajahnya.

"Apakah benar kau adalah diri aku yang lagi satu?"

Afiq bermonolog sambil menatap wajahnya dalam cermin. Mimpi yang baru dialaminya tadi seperti menjelaskan kekusutan, kepelikan dan persoalan yang muncul selepas pulangnya dia daripada kejadian jambatan yang berlaku awal pagi tadi. Selepas melarikan diri daripada pemberita-pemberita, dia segera melelapkan mata di rumah untuk meredakan tekanan.

"Adakah kau jugak yang bertindak dengan tindakan yang tak akan aku buat seumur hidup aku sewaktu kejadian itu?"

Lelaki yang dalam cermin tidak menjawab. Hanya mengikut pergerakan lelaki yang bertanya di luar cermin. Kemudian dia tergelak. "Aku dah gila agaknya", fikir Afiq. Jika difikirkan semula, dia sedar akan segala yang berlaku sewaktu kejadian tetapi dia sendiri tidak percaya bahawa itu adalah dirinya sendiri. Seakan membenarkan mimpi tadi yang menjelaskan tentang dirinya yang satu lagi.

"Allah...", Afiq meraup muka. Dia buntu memikirkan perkara luar biasa itu yang berlaku di luar kebiasaan hidupnya. Apakah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh Tuhan Langit?

Tiba-tiba suara abi membisik perlahan, "Allah tak pernah membiarkan sesuatu itu berlaku tanpa sebab. Kerana setiap yang berlaku itu adalah hikmah pengajaran dan pembelajaran dari Tuhan".

Ya, benar. Segalanya dalam perancangan Dia sebagai tarbiyah untuk sang hamba. Afiq meyakini hal itu. Lantas dia mengambil wudhu' untuk menemui Tuhan Langit. Mengadu dan meminta agar hikmah itu diperlihatkan kepadanya.

"Aku akan muncul lagi bukan saat aku diperlukan, tetapi saat kau diperlukan."

Afiq tersentak. Mungkinkah?

Oleh : aqmusleem

Ulasan