Taubat (Siri 2)

Dengan nama Allah, aku menulis.

***

Pedang sumbing milik si sahabat ditatap hiba. Setelah dibersihkan daripada kesan-kesan darah, ianya kelihatan berkilau apabila memantulkan sinaran redup matahari petang. Sungguh banyak sejarah yang terakam sepanjang hayat pedang itu yang hanya menanti masa untuk patah. Yang ajaibnya biarpun sebegitu keadaannya, hampir jutaan manusia menjadi mangsa dek keganasannya. Dikatakan, pedang itu merupakan warisan daripada seorang pendekar lagenda dahulu yang digelar Pendekar Berdosa. Namun, kesahihannya hanya diketahui oleh pemilik pedang. Bahkan dia sendiri tidak tahu asal usul pedang itu yang menjadi rahsia sang sahabat. Ghazali.

Seketika matanya beralih kepada sebuah tikar jerami yang bergulung yang tersandar di sudut rumah kayu. Di bahagian gulungan atas tikar tersebut menampakkan dua hulu pemegang pedang yang lain. Salah satunya mempunyai kepala naga yang kecil dan yang satu lagi mempunyai segi tiga di pangkal pemegang. Melihatkan kedua-dua pedang tersebut hatinya diasak hiba yang amat. Dia menangis lagi meleraikan kekesalan yang telah terpendam lama di sanubari.

Sebagai Saif Sittah, bagi mereka pedang yang dimiliki masing-masing merupakan teman yang tidak boleh dipisahkan daripada mereka selepas Kitab Suci. Semua orang sememangnya maklum akan hal itu, namun jika sebaliknya yang berlaku maka hanya satu sahaja alamatnya. Kematian tuan senjata.

Bahu Syafie terhincut-hincut menahan tangis. Dia benar-benar kesal dengan apa yang telah berlaku. Semuanya berlaku terlalu pantas tanpa disedari. Ataupun dirinya sendiri yang lambat menyedari kesilapan yang berlaku.

"Allah.. Allah.. Allah.. maafkan aku Allah.."

***

"Kerahkan Skuad Elit malam ni juga!"

Yufta memberikan arahan menggesa kumpulan askar yang paling terlatih bagi melaksanakan titah diraja. Sebagai Menteri Pertahanan yang dipercayai Sultan, dia bertanggungjawab bagi memastikan keenam-enam Saif Sittah ditangkap dalam masa 48 jam. Sama ada hidup atau mati. Khatir terpaksa akur. Sepatutnya dia sedang berlibur pada waktu itu daripada tugas, tetapi taklifat sebagai Jeneral memaksanya untuk menggadaikan kepentingan diri demi negara.

Daerah 'Arik sunyi malam itu. Seakan tiada apa-apa yang sedang berlaku. Ternyata Skuad Elit yang dirahsiakan kemunculannya daripada rakyat menepati khabar-khabar angin yang tersebar mengenai kewujudan mereka. Kehadiran mereka tidak disedari, pergerakan mereka tidak dapat dikenal pasti, misi mereka tidak diketahui, bahkan segalanya dirahsiakan. Khatir adalah orang yang mengepalai skuad ini. Zahirnya dia Jeneral tentera, secara rahsianya pula dia Kapten Skuad Elit. Hanya dua orang saja yang mengetahui tentangnya iaitu Sultan Yassir dan Yufta.

Pusat pengajian kepunyaan Hanafi diceroboh. Sebagai tempat rasmi gerakan Saif Sittah, ia menjadi tempat pertama yang di'lawati' oleh Skuad Elit. Tidak terlepas satu pun sudut daripada diperiksa oleh mereka tanpa disedari penghuninya. Hanya para penuntutnya saja yang ada pada malam itu sedang ketiduran, tiada seorang pun Saif Sittah yang dijumpai.

 "Aku mahu kalian berlima lari dari negeri buat masa ini. Bawa Hadi dan keluarganya ke tempat yang selamat." Arah Syafie.

"Kau pula bagaimana?" soal Hanbali. Jarang sekali ketua mereka itu memberikan arahan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan mereka. Sepatutnya masalah ini perlu diselesaikan dengan syuro agar lebih diberkati.

Syafie tidak menjawab. Masa terjeda seketika dalam ketegangan yang baru terbina tadi. Apa yang berlaku nyata persis seperti yang dijangkakan. Sultan Yassir pasti akan mengarahkan Skuad Elit untuk memburu mereka memandangkan kebolehan dan kehandalan mereka tidak dapat ditandingi tentera biasa ditambah lagi dengan pengikut mereka yang ramai. Dan sudah pasti skuad yang bergerak secara senyap itu akan beroperasi pada waktu malam. Jadi, para Saif Sittah berenam meneruskan kelas pengajian seperti biasa pada waktu pagi selepas misi menyelamatkan Hadi berjaya. Dan sepatutnya pada malam itu, mereka sudah tiada di Daerah 'Arik seperti yang dirancang.

Namun, Tuhan ada perancangannya sendiri. Sekalipun Skuad Elit rahsia itu berjaya dibaca pergerakan mereka, ujian lain pula Tuhan datangkan. Nyata Hadi mempunyai isteri dan seorang anak yang tinggal di hujung daerah. Perihal ini baru dimaklumkan oleh Hadi saat perjalanan baru dimulakan. Kewujudan seorang wanita dan anak kecil itulah yang membantutkan pergerakan dan perancangan mereka kini. Mustahil untuk mereka melesapkan diri dalam jangka masa yang singkat.

"Aku akan berhadapan dengan Jundi Majhul."

Hanbali tersentak dengan jawapan Syafie. Lantas Maliki pula menarik bahu Syafie berpaling menghadap ke arahnya.

"Akhi, kita tidak tahu lagi kebolehan Jundi Majhul macam mana! Berhadapan dengan mereka pun kita tidak pernah lagi, inikan pula kau hendak berhadapan dengan mereka sendirian."

Syafie tidak membalas bicara Maliki. Wajahnya jelas mempamerkan keseriusan dirinya. Matanya tajam memandang Maliki. Ghazali mendesah perlahan. Segera ditarik lengan Maliki untuk ditenangkan.

"Ameer sudah buat keputusan. Sami'na wa ato'na."

Para Saif Sittah berlima bersama Hadi sekeluarga hilang di sebalik kegelapan malam. Masa semakin suntuk tatkala angin yang bertiup halus seakan memberikan amaran akan kedatangan Skuad Elit yang semakin hampir di kawasan perbukitan itu. Syafie melabuhkan punggungnya di beranda Masjid Zinnirah. Pedang Zulfakarnya direhatkan di sisi kiri. Mata dipejamkan seketika bagi membina fokus pada tenaga dalamannya. Angin mula bertiup kencang. Semakin lama semakin kencang kerana terkesan dengan aura yang ditingkatkan. Tiba-tiba angin luar biasa sepantas kilat terasa mengelilingi dirinya.

Satu, dua, tiga dan 30 puluh kesemua sekali. Segera zikir diratibkan dalam hati.

"La haula wala kuwwata illa billah". Matanya dibuka sambil tangan kanannya mencapai Zulfakar di sisi.

30 orang lelaki serba hitam yang hanya menzahirkan mata di sebalik kain hitam yang dibalut di muka. Semuanya bersedia dalam posisi serangan yang akan bertindak pada bila-bila masa sahaja. Seorang lelaki yang mengenakan selendang merah di leher menapak ke hadapan beberapa langkah. Kelihatannya dialah ketua kumpulan tersebut.

"Mana yang lain, Jundi?"

Senyap. Soalan itu terbiar tanpa jawapan.

"Aku kata mana yang lain!?" Kali ini pertanyaan tersebut diiringi aura yang kuat. Namun ia belum cukup untuk memaksa Syafie membuka mulut.

Berdasarkan soalan tadi, Syafie dapat menjangka lelaki yang bertanya itu adalah seorang yang berjawatan dalam ketenteraan negara. Gelaran 'Jundi' hanya digunakan oleh orang atasan untuk menggelarkan orang bawahan dalam sistem ketenteraan. Pengalaman dalam ketenteraan negara sedikit sebanyak menambah pengetahuan dirinya tentang selok belok pentadbiran negara.

"Bawa aku berjumpa dengan Sultan." Arah Syafie.

"Cis, berani kau mengarahkan aku" getus hati Khatir. Gerahamnya diketap. Kemudian bibirnya mengukir senyuman sinis di sebalik kain yang membalut muka.

"Cuba langkah mayat aku dulu," sindir Khatir bongkak. Dia tekad untuk bawa lelaki yang pernah dikenalinya itu berjumpa dengan Sultan tanpa nyawa dikandung badan. Yakin.

Zulfakar dipegang kemas. Basmalah dilafazkan.

***

Angin gunung yang bertiup terasa teramat sejuk bagai menggigit tulang. Embun tebal memenuhi kawasan tersebut. Bulan pula masih belum menghilangkan dirinya bagi memberi laluan kepada sang matahari. Pintu langit masih terbuka lagi bagi jiwa-jiwa yang merindui Tuhannya. Rahmat dan kasih Tuhan menanti di kaki langit untuk menyaksikan aduan-aduan, luahan-luahan dan permintaan-permintaan sang hamba.

Di sebalik kesepian, kedengaran perlahan bunyi esakan di sebalik dinding kayu rumah yang satu-satunya di situ. Segala kekesalan dan kesedihan yang terpendam, diluahkan semuanya kepada Sang Khaliq. Dirinya berasa kerdil sekali. Tiada apa yang mampu dilakukan untuk memperbetulkan kesilapannya yang lalu.

"Syafie.."

Tiba-tiba kedengaran satu suara yang memanggil namanya entah dari mana.

Syafie segera bangkit dari sujud. Matanya melilau mencari empunya suara yang sangat dikenalinya itu. Saat sebatang tubuh ditangkap oleh pandangan matanya di satu sudut, dia bingkas bangun mendapatkan empunya suara tersebut. Tubuh itu didakapnya erat.

"Guru.. saya bersalah guru.." esak Syafie semakin kuat.

Lelaki yang pernah digelar sebagai Kiai Sunyi itu membalas dakapan anak muridnya. Dibelainya perlahan tubuh itu.

"Redhalah nak".

Bicara ringkas itu nyata lebih menyesakkan dadanya. Dia tahu perlu redha. Dia juga tahu perlu ikhlas dengan takdir Tuhan. Namun, kekesalannya terlalu besar untuk diabaikan.

"Kamu sudah buat keputusan yang terbaik."

"Ya, benar guru. Tapi tanpa diduga, keputusan saya itu menyebabkan keburukan pada sahabat-sahabat lain. Saya bersalah guru.. saya bersalah." 

Guru hanya membiarkan anak muridnya itu meluahkan isi hati. Bukan dia tidak tahu akan perihal yang berlaku, tetapi ianya adalah pengajaran buat sang murid. Benar, anak muridnya itu sudah memilih keputusan yang terbaik. Dan, benar juga keputusan itu mendatangkan keburukan untuk sahabatnya yang lain tanpa disengajai.

"Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu". Sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah dibisikkan perlahan.

"Allah.. Allahuakbar. Subhanaka inni kuntu mina zholimin. Maafkan dan ampunkan dosaku yang sengaja ataupun yang tidak disengajai wahai Tuhan".

Malam itu menjadi saksi akan taubatnya seorang hamba kepada Tuhannya.




Ulasan