Taubat (siri 3)

Dengan nama Allah, aku menulis.

***

“Apa kau ingat kau boleh tudingkan kesalahan pada beta, Syafie?”

Sultan Yassir bangkit daripada kerusi kemegahannya. Tongkat emas separa pinggang diacu tepat ke arah lelaki di hadapannya. Riak wajah Sultan Yassir bengis. Titahnya gagal disempurnakan Jundi Majhul. Hanya ketua kumpulan Saif Sittah saja yang muncul di istananya pada malam itu, bahkan itupun dengan kehendak dirinya sendiri untuk berhadapan dengan Sultan.

Sedari tadi dia hanya berdiam tanpa bicara sambil matanya tajam menatap Sultan. Nafasnya kemengahan. Jubah kelabunya pula kelihatan tercarik-carik di serata tempat beserta tompokan warna merah pekat. Tangan kirinya menekup luka hirisan pedang di lengan kanan yang kejap memegang Zulfakar. Di hadapannya terbujur kaku jasad Khatir yang pengsan tak bermaya. Nyata usaha untuk menewaskan kesemua Jundi Majhul tanpa perlu adanya kehilangan nyawa memakan dirinya sendiri. Separuh mati segala kemahiran seni pertempuran gabungan elak-serang dikerahkan sepenuhnya supaya semua serangan yang dilakukan tidak mengancam nyawa. Tenaga dalamannya hampir kehabisan, namun disimpan sedikit untuk kegunaan jurus istimewa warisan Guru sewaktu kecemasan.

“Ini saya pulangkan anak buah Tuanku. Dia masih berpeluang untuk hidup jika dirawat cepat, ahlinya yang lain pula ada di pergunungan. Juga masih hidup.”

Geraham diketap. Buku limanya dikepal geram. Sememangnya sangat di luar jangkaan logik akal. 30 orang tentera elit kerajaan yang dilatih khas tidak mampu menewaskan walau seorang pun daripada Saif Sittah? Bahkan kesemuanya ditewaskan dengan niat untuk tidak membunuh? Mahu saja dia menjerit saat ini melepaskan geram, namun kehormatan dirinya perlu tetap dijaga di hadapan menteri dan pegawai yang ada.

“Saya perlukan penjelasan Tuanku.”

Sultan Yassir terkesima dengan soalan yang diajukan. Matanya meruncing diikuti dengan dahi yang dikerutkan. Otaknya pula ligat membuat andaian tujuan soalan itu disuarakan. “Apa? Penjelasan? Kau datang sejauh ini separuh mati hanya untuk mendengar penjelasan beta?”. Aura halus mula dialirkan ke seluruh badan tegapnya, demi berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan yang diambil oleh Syafie. Sememangnya dia juga gentar sekiranya tujuan kedatangan Syafie ke istana adalah untuk membunuh dan menggulingkan kerajaannya walaupun keadaan lelaki itu kini tidak memungkinkan ianya berlaku.

“Apa yang kau nak tahu?”
“Kesemua sekali.”

Sifat hormat pada Sultan yang disanjungi rakyat itu nyata masih bertapak dalam hatinya. Sultan yang terkenal dengan keadilan dan prihatin pada rakyat. Namun entah kenapa kepercayaan itu semakin sirna tatkala khabar-khabar buruk yang mengaitkan Sultan dengan isu-isu negara tersebar sehingga Saif Sittah bersepakat untuk berhenti dan keluar daripada bernaung dalam ketenteraan negara sebelum kejadian Teluk Mikael berlaku. Akan tetapi jiwanya masih mahu memegang kepercayaan itu sehingga membawa dirinya ke tempat ini saat ini. Demi sebuah penjelasan daripada tuan badan.

“Ya, benar. Hadi tidak bersalah. Dia cuma mangsa keadaan apabila tanpa sengaja menyaksikan pembelotan dalam angkatan tentera yang diarahkan untuk mempertahankan Teluk Mikael. Dan pembelotan itu adalah arahan daripada beta untuk menutup kerjasama yang beta jalankan dengan Arapoh daripada pandangan rakyat.”

Apakah? Syafie tersentak. Matanya membulat. Dadanya sesak mendengar bicara Sultan yang dihormati itu. Apakah ini benar? Ataupun hanya bicara kosong? Syafie terlutut serta merta. Matanya meliar melihat reaksi para menteri dan pegawai yang turut berada di situ. Nampaknya ia benar. Reaksi mereka bersahaja. Perkara ini rupanya telah dirancang dalam kabinet pentadbir. Mengorbankan sejumlah angkatan tentera yang ikhlas mempertahankan Teluk Mikael demi mengikat perjanjian dengan Kerajaan Arapoh dengan memberi mereka kawasan pentadbiran Teluk Mikael sebagai sketsa penjajahan.

Mata Syafie mulai memerah. Air jernih memenuhi matanya. Kesedihan yang diratapi rakyat akan korban seribu orang pejuang tanah air sebenarnya adalah restu dan rancangan daripada Sultan sendiri.

“Dan sepatutnya sebagai penyebab kekalahan ini diletakkan pada Hadi. Supaya rakyat tidak bangkit menentang kerajaan yang kononnya gagal pertahankan sebahagian tanah air.”

Sekali lagi jiwanya dihentam hebat. Kononnya? Adakah semudah itu mentadbir negara? Tangisnya tidak dapat ditahan lagi. Sebegini kejamkah Sultan Yassir?

“Dan sepatutnya para Saif Sittah sudah tidak wujud lagi di dunia malam ni. Sebagai ganti untuk tempat Hadi yang kalian selamatkan sebagai pembelot negara.” Sultan Yassir menjelaskan dengan bersahaja. Tanpa sedikit pun nada kekesalan apatah lagi kesedihan dalam pengakuannya.

Allah! Kedua-dua buku lima dihentakkan Syafie ke lantai. Lantas corak retak terkesan di sekeliling buku lima itu.

“Tuanku titahkan Jundi Majhul untuk bunuh kami?” bicara Syafie kepayahan seakan tidak percaya. Serak.
“Benar. Tangkap kalian sama ada hidup atau mati sebab membelot negara.”

Berderai hati mendengarnya. Serta merta kepercayaan yang cuba dipertahankan selama ini terhapus sama sekali.  “Saya tidak menyangka Tuanku sekejam ini.”

Sultan Yassir segera mengarahkan pengawal istana bersiap sedia dengan senjata untuk membunuh Syafie melalui isyarat tangan tanpa dilihat oleh Syafie yang sedang tertunduk sedih dan kecewa.

“Saya sangka Tuanku mampu teruskan legasi ayahanda Tuanku dengan lebih baik untuk rakyat. Namun, kepercayaan saya itu benar-benar dikhianati oleh Tuanku sendiri.”

“Setiap perkara yang berlaku itu ada sebab, Syafie. Kita perlu bertindak mengikut keadaan dengan keputusan yang terbaik.”

Syafie mencebik. “Keputusan yang terbaik? Untuk Tuanku sendiri atau rakyat?”.

Syafie mulai berdiri semula. Dirinya benar-benar longlai. Bukan setakat zahirnya yang cedera, jiwanya juga hancur menyaksikan fitnah yang berlaku di depan matanya. Sejak kecil mereka berenam dididik untuk taat dan setia kepada Sultan dalam mempertahankan kedaulatan agama dan negara, namun tidak pernah pula mereka dikhabarkan dengan kemungkinan kezaliman dan kekejaman yang dilakukan oleh Sultan sendiri sebegini rupa. Percaya itu ranap, hancur berantakan.

Pengawal istana semakin mendekat mengepung Syafie di tengah balai menghadap. Usai tegap berdiri, tangan kanan berserta Zulfakar disilangkan ke belakang badan. Wajahnya tetap menunduk, tidak mampu untuk melihat wajah zalim di hadapannya.

“Taubatlah, wahai Sultan. Cuma itu pesanan saya. Jangan bimbang, rahsia Tuanku dan rakan subahat Tuanku selamat bersama saya. Negara akan tetap aman dan rakyat akan tetap taat dan hormat pada topeng Tuanku.”

Syafie memejamkan mata. Bakian aura terakhir ditumpukan pada otaknya. “Serang!!!”

Zup. Sepantas kilat. Serta merta jasad Syafie hilang daripada istana. Pengawal istana terpinga-pinga melihat sekeliling. Seakan dalam mimpi, orang yang dikepung tadi hilang tiba-tiba.

Tongkat emas dihentakkan ke lantai. Egonya tercabar dek perlian Syafie tadi. Entah kenapa dia tidak ragu-ragu untuk menjelaskan kebenaran tadinya tanpa selindung. Adakah mungkin kerana Syafie pernah menjadi orang kanannya, atau dia yakin Syafie pasti dapat ditangkap tadi? Malang sekali manusia itu sudah lesap kini dalam sekelip mata, memberi kejutan sekali lagi.

***

Kakinya lemah mendarat di tanah. Hawa gunung yang dingin menggigit kulit. Sunyi, cuma bunyi kunang-kunang bergurau senda di sekeliling pelita di atas tikar tempat uzlahnya kedengaran perlahan. Perlahan dia menapak mendekati tikar peneman uzlahnya itu. Hatinya sakit. Sedikit demi sedikit pandangannya menggelap. Lututnya longlai. Lantas Syafie rebah dalam kekecewaan dan kesedihan yang sarat dalam dada.



Ulasan