Taubat

Dengan nama Allah, aku menulis. Moga menjadi wasilah untuk kami lebih dekat denganMu.

//////////////////////////////////////////////////////////////

Langit seakan merah. Debu² halus berterbangan meliputi angin hangat. Tidak kelihatan matahari, namun teriknya terasa membakar kulit yang sudah sedia perit dengan luka². Bertebaran jasad² pejuang yang mati dengan matlamat dan misi masing². Padang pasir yang tandus basah disimbahi darah merah.

Di tengah medan pertempuran, seorang lelaki berjubah hitam belah tepi sedang terlutut sambil menampung badannya daripada tumbang dengan memegang sebilah pedang sumbing yang dipacakkan ke tanah.

Di hadapannya, wujud seorang lelaki berjubah kelabu kusam tegak berdiri. Tangan kirinya kemas disematkan ke belakang pinggang sebaliknya pula tangan kanannya kejap menghunus pedang bermata dua tepat di leher lelaki berjubah hitam tersebut. Di belakang lelaki berjubah kelabu itu pula kelihatan sekumpulan kecil saki baki tentera yang tinggal daripada menjadi mangsa pedang sumbing lelaki berjubah hitam yang mengganas bak singa membaham mangsa sebelum muncul lelaki berjubah kelabu itu entah dari mana menyelamatkan mereka.

Wajah lelaki itu terlihat tenang dan damai sedari tadi ketika bertempur satu lawan satu dengan lelaki berjubah hitam tanpa secebis pun rasa takut apatah lagi gerun. Senyuman tidak lekang dari wajahnya.

"Apa kau tunggu lagi. Tamatkan saja nyawa aku!" Teriak lelaki berjubah hitam. Suaranya kasar dan garau. Dengan sekelip mata, dia meludah tepat ke wajah lelaki di hadapannya.

Lelaki berjubah kelabu kekal tersenyum. Tangan kirinya mengesat air liur di wajahnya dengan lengan baju. Kemudian, mengurut janggut lebatnya yang tidak terlalu pendek dan tidak panjang.

Pedang bermata dua diturunkan daripada leher lelaki berjubah hitam. Disisipkan di sisi kanannya tapi masih kekal dalam keadaan bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Kenapa? Takut? Haha." Sindir lelaki berjubah hitam diikuti gelak tawa.

Nafas dihela perlahan. "Jika bukan kerana ludah kau tadi, pasti kepala kau sudah putus sekarang." Halus kedengaran suaranya tapi cukup menikam.

Serta merta tawanya terhenti. Matanya tepat merenung pandangan redup lelaki berjubah kelabu. Memori² silam muncul satu persatu.

"Kau masih hebat seperti dahulu." Wajah bengis itu memuji.

"Tidak, Ghazali. Sewajarnya kita membunuh kerana Tuhan. Allah. Bukan kerana nafsu."

Ringkas lelaki berjubah kelabu membalas. Jawapan yang pendek namun ianya saat ini benar² mengesankan jiwa Ghazali. Seakan satu teguran padu untuk jenayah yang bertahun-tahun telah dilakukan. Teguran yang ditunggu-tunggu jiwa luhurnya selama ini.

"Ke mana kau menghilang selama ni?"

Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan.

"Ke mana kau menghilang ha!?" Debu sekeliling berterbangan kuat terkesan akibat aura yang dihembus kuat. Sekumpulan tentera yang menyaksikan terpelanting beberapa jarak ke belakang.

Syafie kekal berdiri kaku. Tidak terkesan dengan aura ganas yang dihembus Ghazali. Senyumannya sedikit surut. Wajahnya sugul.

"Berhentilah, wahai sahabat. Kau sudah menapak terlalu jauh.."

Ghazali memotong bicara Syafie. "Kau atau aku yang pergi menjauh?"

"Jauh daripada ajaran Kitab Suci dan Warisan Nabi yang sebenar". Syafie menyambung kalamnya.

Serta merta hati Ghazali terasa disambar panahan petir. Perit. Perjuangan yang diusahakan selama ini atas nama menuntut kebenaran dibilangnya telah jauh daripada jalan yang sebenar oleh Syafie. Berpenat lelah. Berperit jerih. Siang malam mengumpulkan pengikut. Menyeru untuk menuntut kebenaran dan pembelaan. Kemudian menyusun strategi untuk menumbangkan dinasti Sultan Yassir. Berperang, membunuh tanpa had dan batasan. Sesiapa yang berani membangkang apatah lagi menghalang perjuangannya, maka bersedialah menjadi mangsa pedang sumbing yang sudah mengambil ratusan ribu nyawa yang turut bersalah mahupun yang tidak bersalah. Itulah apa yang dilakukannya sepanjang lima tahun ini.

Dirinya terkenal dengan gelaran Singa Hitam. Kumpulannya digeruni semua pihak. Sehinggakan dua tahun terakhir, Sultan Yassir mengabaikan kebajikan rakyatnya kerana sibuk mengusahakan pertahanan kerajaannya.

Segalanya bermula dengan titah Sultan yang diarahkan untuk membunuh Saif Sittah.

//////////////////////////////////////////////////////////////

"Jadinya sahabat², apa tindakan kita sekarang ini?" Maliki yang mula² bersuara.

Tiada yang menjawab. Masing² sibuk memikirkan solusi yang terbaik.

"Allahuakbar..", Hanafi menghela nafas berat. "Kita tersepit antara dua keadaan. Sama ada kekal taat pada Sultan atau tegakkan kebenaran. Dua² ada maslahah dan mafsadahnya."

"Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Semua mata tertumpu pada Syafie. Dia yang dari tadinya berdiam diri kini bersuara. Sebagai ketua, sudah menjadi sifatnya untuk mendengar, meneliti dan menimbang tara dahulu setiap pandangan dan hujah dalam syuro sebelum berijtihad sesuatu keputusan mahupun tindakan.

"Satu nyawa yang tidak bersalah akan ditamatkan pada waktu Dhuha esok. Dan satu jangkaan pemberontakan rakyat yang akan menimbulkan huru hara negara yang tidak tahu bila akan terjadi."

Syafie menghentikan bicaranya sebentar. Kalimah istighfar berulang kali diucapkan perlahan. Manakala hatinya pula tidak henti mengharapkan bimbingan Allah atas syuro yang dilakukan.

"Mana yang antum fikir, lebih awla untuk masa sekarang?" Soal Syafie mengakhiri bicaranya.

Para Saif Sittah masing² berfikir sejenak. Soalan yang diajukan Syafie merupakan balaghah kepada jawapan atau kesimpulan dirinya.

"Esok sebelum subuh, kita ceroboh penjara. Selamatkan Hadi." Ghazali tiba² seakan mengeluarkan arahan. Bukan pandangan menyokong dan bukan pula membantah.

Masing² mengangguk. Ada benarnya apa yang diperkatakan Syafie. Islam sangat menjaga satu nyawa muslim. Inikan pula nyawa yang tidak bersalah. Memang benar, apabila bertembung sesuatu masalah, perlu diutamakan yang kurang mafsadahnya. Akan tetapi dalam hal ini, jangkaan kekecohan pemberontakan rakyat yang akan berlaku jika kebenaran ditegakkan, ianya merupakan perkara yang masih di luar pengetahuan manusia.

Akhirnya, para Saif Sittah sepakat untuk menyelamatkan Hadi walaupun ianya melanggar larangan Sultan Yassir.

"In shaa Allah, kita usahakan untuk masa yang terdekat. Di masa hadapan, kita tawakkal pada Allah, moga perkara baik menyusuli."

//////////////////////////////////////////////////////////////

Hadi berjaya diselamatkan seperti apa yang dirancang Saif Sittah. Mereka bersujud memanjatkan syukur pada Tuhan yang satu usai masuk waktu subuh di Masjid Zinnirah. Masjid yang jauh di pedalaman daripada bandar.

Istana digemparkan dengan berita yang tak disenangi Sultan. Segala persiapan majlis keraian bagi keberjayaan menangkap dan menghukum bunuh 'pembelot' seperti sia². Hadi, yang dikatakan pembelot hilang tanpa jejak. Bahkan pengawal penjara sendiri yang berkawal dan berjaga 24 jam tidak tahu apa².

Sultan Yassir berang. Tongkat kemuliaannya dihentakkan ke tanah. Lantai istananya retak. Fikirnya, hanya mereka yang boleh melakukan perkara aneh di luar jangkauan otak ini. Dan hanya mereka yang mempunyai kebolehan luar biasa untuk melarikan si pembelot tanpa jejak. Hanya mereka. Para Saif Sittah.

//////////////////////////////////////////////////////////////

Ghazali terbatuk-batuk. Cecair merah keluar daripada mulutnya. Kemudian dia tersengih. Jasadnya kelihatan elok tanpa luka disebabkan pertarungan dengan Syafie. Namun hakikatnya, organ dalaman badannya cedera parah.

"Berhentilah, sahabat. Ana yakin anta tahu apa yang benar dan apa yang salah. Ana yakin anta sedar selama ini perjuangan yang anta lakukan hanya menuruti nafsu, bukan syariat." Syafie menasihati lagi.

Ghazali menundukkan wajah. Buat pertama kalinya, kebengisan yang terserlah pada wajahnya hilang sepertimana waktu sebelum sahabat² Saif Sittahnya yang lain dibunuh dan diburu oleh Sultan. Sebelum dirinya yang dihormati dan disegani, ditakuti dan digeruni masyarakat.

"Apakah kau ada cara lain untuk membenarkan semula apa yang salah semua ini?"

"Ya, dengan jalan yang lebih baik."

"Sudah banyak nyawa yang tak bersalah aku bunuh. Jiwa² yang tulus aku binasakan. Kasih dan sayang yang aku dustakan.."

Tanpa disedari, air jernih hangat menuruni kelopak mata Ghazali.

"Apakah aku yang hina ini, masih layak diampun Tuhan?"

Saat itu kedua belah tangannya bergetar kuat. Pedang sumbing terlepas dari genggaman. Lantas dirinya tersungkur sujud di tanah.

"Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu."

Syafie membacakan sepotong ayat daripada Surah Al-Baqarah.

"Mari bersamaku, kita usahakan dengan cara yang lebih baik."

Syafie merapati Ghazali. Kemudian, dia memaut bahu sahabat seperjuangannya yang sedang bersujud itu dengan penuh kasih sayang.

Jasad itu kaku. Serta merta air matanya pula mengalir. Menangis kerana syukur, Tuhan mempertemukan mereka sebelum hayat sahabatnya itu berakhir. Menangis juga kerana menyesali dirinya terlalu mementingkan diri dengan terlalu lama melarikan diri daripada fitnah.

"Wahai Tuhan, Engkau menyaksikan perkara ini. Kami dizalimi dan hanya Engkau juga yang mampu menyelamatkan kami. Ampunkan kami, terimalah taubat kami."

Syafie menghunus pedangnya lalu diangkat ditujukan ke arah langit dengan semburan aura yang dahsyat.

"Allahuakbar!!!!". Menggegar angkasaraya, mengetuk pintu istana.

*Note : hanya ceritera rekaan semata. Maaf andai ada kesilapan bahasa dan ilmu pengetahuan yang diguna. Mohon diperbetulkan jika ada. Moga bermanfaat untuk semua.

Ulasan